KOTA BHARU: Pemain dan pengurusan pasukan Kelantan harus menarik nafas lega apabila mereka akan menerima bayaran dua bulan gaji, Selasa ini bagi membolehkan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Bayaran itu akan dibuat dalam satu majlis berbuka puasa di kediaman Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Seri Puri, Bukit Marak di sini.
Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata walaupun berdepan kekangan kewangan, KAFA berusaha mencari alternatif bagi menjaga kebajikan pemain dan pegawai The Red Warriors (TRW) musim ini.
"Bayaran dua bulan gaji untuk bulan Mei dan Jun itu sekurang-kurangnya membolehkan pemain dan pegawai membuat persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba. "KAFA berharap pemain terus fokus untuk baki saingan Liga Super Julai ini dengan mengatur dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga FAM MPKB," katanya ketika dihubungi BH Sukan hari ini.
BH Sukan sebelum ini melaporkan Annuar mengumumkan pembayaran gaji pemain bagi bulan Mei dan Jun akan dilangsaikan secara serentak pada 20 Jun ini.
Mengulas lanjut isu pendaftaran pemain import baharu, Seydi L Imam, Ismail memaklumkan pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) walaupun sudah mengadakan pertemuan 5 Mei lalu.
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment